Kerjaya kelab Florian Thauvin

Kerjaya awal

Thauvin beraksi untuk akademi-akademi Ingre, Saint-Jean-de-la-Ruelle, Orléans dan Grenoble sebelum bakatnya terserlah dan menarik minat beberapa kelab besar.[4] Beliau melakukan penampilan pertamanya untuk Grenoble pada 11 Mac 2011 dalam aksi Ligue 2 menentang Vannes yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.[5]Grenoble tersingkir ke liga CFA 2 selepas pembubarannya pada Julai 2011.

Bastia

Pada 19 Julai 2011, Thauvin meninggalkan kelab lamanya dan menandatangani kontrak profesionalnya yang pertama bersama kelab Corsica, Bastia.[6] Pada 28 Oktober 2012, beliau menjaringkan gol pertamanya untuk Bastia ketika pasukannya melakar kemenangan 3-1 ke atas Bordeaux.[7] Beliau membantu Bastia untuk merangkul gelaran Ligue 2 pada tahun 2012.[8]

Pada 29 Januari 2013, Thauvin menandatangani kontrak selama empat tahun setengah bersama kelab Ligue 1, Lille dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak 3.5 juta euro.[9] Sebahagian daripada rundingan itu, beliau dihantar semula ke Bastia dalam tempoh pinjaman selama enam bulan sekali gus beliau kekal bersama kelab Corsica itu sehingga penghujung musim 2012–13.[10] Berikutan persembahannya yang cemerlang pada musim itu, Thauvin dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Ligue 1.[11]

Marseille

Pada 3 September 2013, beberapa minggu selepas rundingan yang berlarutan dan beliau tidak berjaya melakukan sebarang penampilan untuk Lille, Thauvin menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Olympique de Marseille. Pemain yang berusia 20 tahun itu tidak memunculkan diri semasa sesi latihan kerana beliau ada pertikaian dengan kontrak sebelum dipaksa untuk berpindah ke Stade Velodrome. Akhirnya, beliau berjaya melengkapkan perpindahan itu yang berjumlah 15 juta euro termasuk bonus.[4][12]

Pada 4 Januari 2015, Thauvin merupakan satu-satunya pemain Marseille yang tersasar untuk melengkapkan tendangan penaltinya ketika perlawanan pusingan 64 terbaik Coupe de France menentang kelab lamanya yang beraksi di divisyen keempat, Grenoble sekali gus menyebabkan mereka tersingkir.[13] Thauvin seterusnya melakukan 81 kemunculan sepanjang dua musim dan menjaringkan 15 gol.[14]

Newcastle United

Thauvin beraksi untuk Newcastle pada tahun 2015.

Pada 19 Ogos 2015, Thauvin telah menyertai Newcastle United dengan menandatangani kontrak selama lima tahun dengan bayaran perpindahan bernilai 15 juta euro. Sementara itu, Rémy Cabella menuju ke arah bertentangan iaitu Marseille untuk dipinjam selama satu musim penuh dan mempunyai pilihan untuk dibeli secara tetap. Thauvin diberikan jersi bernombor 20 yang dipakai oleh Cabella pada sebelum ini.[15][16] Beliau melakukan kemunculan sulungnya pada tiga hari kemudian selepas menggantikan rakan senegaranya, Gabriel Obertan pada minit ke-69 permainan menentang Manchester United di Old Trafford yang berakhir seri tanpa jaringan.[17] Beliau tampil dalam kesebelasan utama pasukan buat kali pertama untuk Newcastle ketika menentang Northampton Town dalam pusingan kedua Piala EFL pada 25 Ogos. Dalam perlawanan itu, beliau berjaya menjaringkan gol dan melakukan tiga hantaran jaringan yang berkesudahan pasukannya menang 4-1.[18]

Thauvin telah dikritik oleh penjaring terbanyak Newcastle, Alan Shearer kerana tampil dalam satu perlawanan dengan mengenakan pakaian tuxedo. Pada Februari 2016, beliau memberitahu kepada L'Équipe bahawa kritikan itu tidak adil dan menjejaskan prestasinya.[19]

Kembali ke Marseille

Pada 31 Januari 2016, Newcastle mengumumkan bahawa Thauvin akan kembali ke Marseille secara pinjamannya untuk saki-baki musim.[20] Dalam aksi pertamanya sebagai pemain pinjaman pada 2 Februari, beliau telah dibuang padang pada sepuluh minit selepas kemasukannya sebagai pemain gantian ketika menentang Montpellier selepas mengenakan faul ke atas Hilton.[21] Beliau menjaringkan gol tunggal permainan pada 20 April apabila pasukannya menumpaskan FC Sochaux-Montbéliard 1–0 pada aksi separuh akhir untuk membolehkan Marseille mara ke final Coupe de France menentang Paris Saint-Germain dalam pertembungan Le Classique. Marseille tewas 4-2 dalam perlawanan itu manakala Thauvin mencatat nama selaku penjaring gol.[22]

Thauvin bersama Marseille pada tahun 2018.

Pada 4 Ogos 2016, Thauvin memulakan tempoh pinjamannya yang kedua di Marseille dengan menandatangani rundingan pinjaman selama satu musim penuh. Newcastle memasukkan klausa pelepasan dalam kontrak itu bagi membolehkan Marseille memilih untuk melakukan perpindahan tetap.[23] Pada November 2016, dilaporkan bahawa tempoh pinjaman Thauvin akan dibuat secara tetap pada musim panas 2017 selepas pihak Marseille bersetuju untuk membayar 9.8 juta paun sterling demi melengkapkan perpindahan tetap Thauvin. Beliau hanya beraksi dalam tiga perlawanan untuk Marseille semasa tempoh pinjamannya kali kedua..[24]

Thauvin mengetuai pasukan Marseille buat kali pertama dalam pusingan 64 Coupe de France 2016–17 menentang Toulouse pada 8 Januari 2017 yang menyaksikan Marseille menang 2-1. Pada 10 Mac, beliau menjaringkan dua gol pada aksi Ligue 1 menentang Angers sekali gus mencatatkan rekod empat jaringan gol dihasilkan olehnya dalam empat perlawanan Ligue 1 terakhir disertainya.[25] Kemudian, beliau telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan UNFP untuk bulan Mac apabila beliau menjaringkan tiga gol dan melakukan dua bantuan jaringan. Pada 30 April, Thauvin menjaringkan hatrik pertama dalam kerjayanya dalam perlawanan liga menentang Caen.[26][27]

Pada 2 Februari 2018, Thauvin menjaringkan hatrik sekali lagi semasa pasukannya meraih kemenangan 6-3 ke atas Metz.[28] Beliau seterusnya merangkil dua lagi anugerah Pemain Terbaik Bulanan untuk bulan November dan Februari dan menamatkan musim 2017-18 dengan menjaringkan 22 gol liga sekali gus menjadikan beliau sebagai penjaring kedua terbanyak selepas Edinson Cavani.[29] Beliau juga merupakan salah satu daripada empat orang calon untuk merangkul anugerah Pemain Terbaik Musim tetapi ia akhirnya dimenangi oleh pemain PSG, Neymar.[29] Dalam saingan Liga Europa pula, beliau menyumbang empat gol dalam 14 perlawanan untuk Marseille yang kemudiannya kempen mereka berakhir pada aksi final kecundang kepada Atlético Madrid di Lyon.

Pada musim 2018–19, Thauvin merupakan penjaring keempat terbanyak Ligue 1 dengan menjaringkan 16 gol dalam 33 perlawanan. Namun, Marseille menghuni tangga kelima liga dan terlepas tiket untuk ke kejohanan Eropah.[30] Pada musim itu, beliau pernah menjaringkan hatrik ketika pasukannya menewaskan Amiens 3-1 pada 25 November.[31] Pada dua bulan kemudian, beliau telah dibuang padang dalam aksi kecundang Lille dengan skor 2-1.[32] Pada September 2019, beliau terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan pada ligamen sikunya. Beliau kembali pada bulan Mac untuk menghadapi saki-baki musim tetapi beliau terpaksa meninggalkannya berikutan pandemik koronavirus.[33][34]

Rujukan

WikiPedia: Florian Thauvin http://www.foot-national.com/flashes-24359.html http://www.goal.com/en-us/news/69/transfer-zone/20... http://timesofindia.indiatimes.com/sports/football... http://www.ligue1.com/ligue1/article/ibrahimovic-t... http://www.ligue1.com/ligue1/article/thauvin-helps... http://www.nydailynews.com/newswires/sports/nice-d... http://www.soccerway.com/players/%7B%7B%7Bid%7D%7D... http://www.uefa.com/memberassociations/association... http://www.footballdatabase.eu/football.joueurs.fl... http://sport24.lefigaro.fr/football/equipe-de-fran...